Sejarah

SEJARAH AUEGCAS 

Malaya sebelum merdeka terdiri daripada negeri-negeri Melayu  Bersekutu, Negeri-Negeri Tidak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka.

Kerajaan Malaya setelah merdeka mendapati sukar untuk mentadbir perkhidmatan-perkhidmatan Perkeranian yang terdiri daripada pelbagai skim perkhidmatan dengan bayaran gaji yang berlainan dan diwakili oleh pelbagai kesatuan. Ekoran itu timbul pelbagai masalah dan pertikaian di antara kesatuan yang wujud.

Pada tahun 1958, Kabinet telah menubuhkan sebuah Kumpulan Kerja Bersama bagi penyusunan semula perkhidmatan Perkeranian di bawah bidang kuasa Majlis Whitley Kebangsaan untuk mengkaji keadaan perkhidmatan Perkeranian dan seterusnya menyampaikan syor-syornya.

Pada awal tahun 1960-an didapati pelbagai kesatuan perkeranian telah ditubuhkan mengikut negeri.  Ketika itu penyandang-penyandang jawatan kerani tidak bersatu dan sentiasa bersaing di antara satu sama lain disebabkan ketiadaan sebuah kesatuan yang tunggal untuk mewakili kakitangan perkhidmatan Perkeranian secara kolektif.  Keadaan ini berlanjutan sehingga tahun 1963, sehingga detik bersejarah yang membawa kepada penubuhan sebuah kesatuan sekerja induk bagi kumpulan perkhidmatan Perkeranian.

Pada 16 Mac tahun 1963, Persekutuan Perkhidmatan Perkeranian Awam (CSCF) dan CUEPACS telah mengambill keputusan untuk menggabungkan kesemua kesatuan perkhidmatan Perkeranian. Maka dengan itu, pada 24 September 1963 AUEGCAS telah didaftarkan secara rasmi.

Tujuh Kesatuan Perkeranian mengisytiharkan pembubaran mereka dan bergabung di bawah satu payung yang dikenali sebagai AUEGCAS.  Ketujuh-tujuh kesatuan itu ialah:

·         The Government Clerical Services Union, Selangor

·         Government Clerical Services Union, Negeri Sembilan

·         Perak Government Clerical Union

·         The Government Clerical Services Union, Perlis

·         Supernumenary Clerical Services Union, Federation of Malaya

·         Civil Services Clerical Union, Pahang

·         The Government Stenographers and Typists Union, Federation of Malaya

Pada tahun yang sama, AUEGCAS bergabung dengan CUEPACS dan telah memainkan peranan secara aktif dan seketika mengasingkan diri daripada CUEPACS untuk menguruskan tuntutan persamaan gaji bagi kakitangan kumpulan perkeranian dengan gred-gred setaraf yang lain.

Di antara tahun 1976 dan 1984, AUEGCAS telah mengemukakan tuntutan berhubung dengan isu perkeranian tanpa campur tangan atau mendapat bantuan CUEPACS.

Pada tarikh 14 Disember  1963, AUEGCAS diterima bergabung dalam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) walaupun pada peringkat awal ada pertentangan daripada kesatuan-kesatuan lain seperti National Union of Clerical Workers dan National Union of Office Workers. Semenjak bergabung, pemimpin-pemimpin AUEGCAS telah menduduki beberapa jawatan di peringkat pusat mahu pun di peringkat negeri.

Semenjak ditubuhkan, AUEGCAS terus berkembang. Keahlian telah meningkat dari tahun ke tahun.  Pada keseluruhannya keahlian AUEGCAS ialah lebih kurang 30,000 termasuk yang telah bersara dan berhenti.

Pada tahun 1982 AUEGCAS telah mewujudkan sistem kutipan yuran yang lebih mudah.  Kesatuan juga telah memperkenalkan faedad-faedah dan kebajikan kepada ahli-ahli seperti bantuan biasiswa, saguhati persaraan dan bayaran khairat kematian kepada pewaris.  Faedah-faedah yang diperkenalkan juga telah menarik dan meningkatkan keahlian dalam kesatuan.  Namun demikian, akibat dasar penswastaan oleh kerajaan, AUEGCAS telah kehilangan sekumpulan ahli yang ramai. Keahlian pada masa sekarang ialah lebih kurang 8,000.

Walaupun AUEGCAS terpaksa menghadapi pelbagai rintangan dan halangan di sepanjang jalan,  AUEGCAS tetap tidak berputus asa untuk menambahkan keahlian dan juga membela nasib kakitangan dalam Kumpulan Sokongan dalam apa segi perjuangan sekalipun untuk menegakan keadilan bagi ahli-ahli khasnya dan pekerja-pekerja pada amnya.

Pada tahun 1977, AUEGCAS telah membeli bangunan yang pada masa ini berfungsi sebagai Ibu Pejabat di alamat 32A, Jalan Gajah, Off Jalan Yew, Pudu, 55100 Kuala Lumpur.

Dalam tahun 1995 telah membeli apartmen empat pintu di Taman CUEPACS Kajang.

AUEGCAS juga telah bergabung dengan badan antarabangsa iaitu Public Services International (PSI ) pada tahun 1991.